Pengorbanan seorang ibu sangat banyak untuk membesarkan anak-anaknya. Dari permulaan seorang ibu mengandung hinggalah anak tersebut melangkah ke alam dewasa, jasa ibu tak boleh dilupakan. Apabila seorang anak menatap wajah ibu juga turut mendapat pahala, itulah keistimewaannya yang tuhan kurniakan pada seorang wanita yang bergelar ibu. Pernahkan anda terfikir untuk memberikan hadiah untuk ibu anda.
Sayu hati bila melihat ibu-ibu tua yang berada di kampung merindui anak-anaknya. Jangankan pulang, telefon pun sangatlah jarang-jarang diangkat oleh anak-anak mereka. Tak dinafikan kehidupan si anak yang sangat sibuk dalam mencari nafkah untuk diri dan keluarga, tetapi luangkan juga masa untuk bertanya kabar kepada ibu anda.
Terdapat 3 cara yang boleh anda lakukan dan hadiahkan untuk menghargai jasa ibu anda.
1. Call / Telefon
Dunia kini semakin moden dan telefon mudah alih boleh dibeli dengan mudah dan murah mengikut jenis dan jenama yang dipilih. Majoriti antara kita memiliki telefon bimbit / telefon pintar. Manfaatkanlah ia dengan bertanya kabar ibu anda sebulan sekali atau seminggu sekali mengikut kesesuaian masa anda. Percayalah, walaupun hanya bertanya kabar dan berborak dalam masa 5 minit, ibu anda pasti akan merasa sangat gembira mendengar suara anak kesayangan mereka. Itulah hadiah yang paling bermakna dan dinantikan oleh seorang ibu.
2. Balik Kampung
Kebiasaannya kita akan pulang ke kampung hanya pada musim perayaan sahaja. Gunakan cara ‘balik kampung’ sebagai hadiah untuk ibu anda. Cuba gunakan pula masa cuti hujung minggu untuk pulang ke kampung. Walaupun cuti hujung minggu sangat pendek dan meletihkan untuk anda travel, tetapi kejutan yang anda berikan itu boleh menyebabkan ibu anda tersenyum gembira.
3. Melancong Bersama
Hadiah ketiga yang boleh anda berikan ialah melancong bersama-sama ibu tercinta. Malaysia mempunyai banyak kawasan cantik dan menarik. Anda boleh membawa ibu kesayangan anda untuk pergi melancong bersama. Tak perlu untuk pergi melancong ke luar negara, cukup dengan membawa ibu anda bercuti ditepi pantai atau sungai untuk menikmati keindahan alam semula jadi. Luangkan masa bersama ibu anda ketika melancong, pasti kenangan masa kecil anda akan menjadi perbualan ketika bercuti. Walaupun anda agak nakal masa kecil tetapi percayalah kenakalan anda tetap menjadi kenangan indah untuk ibu anda.
3 cara di atas kelihatan mudah untuk dilaksanakan dan boleh menjadi sebagai hadiah bermakna untuk seorang ibu. Tetapi percayalah bukan semua diantara kita boleh melakukannya. Ingatlah jasa ibu anda ketika anda masih kecil. Tanpa ibu siapalah kita. Kejayaan kita sekarang juga hasil dari doa ibu. Oleh itu berikanlah 3 hadiah ini pada ibu ketika ibu masih ada.