Jika anda pencinta kopi, pastinya tidak sempurna hari anda jika tidak menghirup secawan kopi. Haruman semerbak dari secangkir kopi panas pastinya sudah cukup untuk buat anda tidak duduk diam dari tempat duduk, paling tidak dapat menghirup seteguk air kopi tersebut pun sudah cukup untuk menghilangkan kempunan/ketagihan anda. Betul tak?
Lebih-lebih lagi jika anda seorang kaki travel, berada di negara orang bukan sahaja memberi perbagai peluang untuk anda meneroka banyak tempat menarik dan budaya masyarakat setempat, malah sudah pastinya adalah menjadi satu peluang keemasan bagi anda yang cintakan kopi untuk mencuba berbagai jenis kopi yang terjual dengan citarasa tempatan.
Namun begitu, kekangan bahasa merupakan masalah utama bagi pelancong asing. Ramai yang sukar untuk mendapatkan sumber makanan yang bersesuaian memandangkan bukan semua masyarakat di negara luar yang boleh berbahasa Inggeris. Walaubagaimanapun, apa yang menariknya tentang kopi kegemaran anda ini adalah namanya agak mudah untuk difahami walau di mana pun anda berada. Mengapa? Jom ketahui lebih lanjut penjelasan di bawah.
Kopi
Perkataan ‘kopi’, walau di mana pun ia digunakan mempunyai bunyi yang lebih kurang sama. Pelik bukan? Malah istilah kopi bagi Bahasa Melayu tidak banyak bezanya bunyinya dari perkataan Coffee dalam Bahasa Inggeris. Ini adalah kerana istilah ‘kopi’ ini adalah berasal daripada susur galur kata akar yang sama iaitu daripada Bahasa Arab Klasik, bahasa yang anda akan temui di dalam Al-Quran dan kitab-kitab lama generasi terdahulu 1500 tahun yang lalu.
Istilah Kopi
Istilah kopi adalah serapan dari perkataan ‘Qahwah – قهوة’ yang membawa maksud ‘kekuatan’. Manakala, istilah ‘Qahwah – قهوة’ ini adalah berasal daripada kata akar ‘qahā – قها’. Menurut Bernd Nothofer (2009) istilah ini memberi makna ‘pengembalian keinginan (syahwat) dan tidak berasa sakit’, dalam erti kata lain ia mencerminkan peranan kopi sebagai suatu minuman bertenaga tinggi.
Istilah ini kemudiannya diserap ke dalam bahasa-bahasa lain di seluruh dunia. Di Malaysia, secara umum, terdapat tiga istilah yang digunakan di dalam Bahasa Melayu iaitu ‘kopi’, ‘kahwa’, dan sesetengah lokasi menggunakan kata ‘kawa’ yang merujuk kepada pengertian yang sama. Bagaimana pula dengan negara-negara lain di dunia? Mari kita lihat nama kopi menurut negara-negara di bawah:
- Afrika : Koffie
- Czech : Káva
- English : Coffee
- Finland : Kahvi
- French : Café
- Germany : Kaffee
- Greece : καφέ
- India : Kŏfī
- Iceland : Kaffi
- Indonesia: Kopi
- Itali : Caffè
- Korea : Keopi
- Turki : Kahve
Bunyinya hampir sama bukan? Bagaimana pula di tempat anda? Kongsikan bersama kami apa panggilan kopi di tempat anda ^^
Rujukan:
Nothofer, B (2009). Patut dan turut; dua dan separuh; daftar dan rata: katawarisan atau kata pinjaman? Catatan mengenai etimologi kosakata Melayu. Jurnal Ilmiah Masyarakat Linguistik Indonesia. 27(1): 29.