Semua ibu bapa mahu memiliki anak-anak yang bijak dan kreatif. Ibu bapa boleh membantu memupuk perkembangan kreativiti dari rumah lagi ketika anak-anak masih kecil. Ibu bapa perlu tahu, sinonim dengan kanak-kanak ialah mainan. Kanak-kanak dan mainan tidak boleh dipisahkan. Jika mainan tersebut menarik minat anak-anak anda, mereka akan bermain dengan mainan tersebut dalam tempoh yang lama dan berulang-ulang. Tetapi sebagai ibu bapa, anda perlu tahu bukan semua mainan boleh membantu untuk merangsang perkembangan dan pembelajaran mereka. Terdapat 2 jenis aktiviti yang bagus dan boleh membantu memupuk kreativiti anak anda.
1. Mencantum dan Menyusun
Jigsaw Puzzle merupakan sebuah mainan yang bermanfaat kerana memerlukan anak-anak untuk berfikir ketika bermain. Anak-anak perlu menyusun potongan – potongan gambar dan menyelesaikan sehingga habis untuk mengetahui hasil gambar yang mereka sedang cantumkan. Jigsaw puzzle adalah permainan yang mencabar dan bermanfaat untuk meningkatkan kreativiti anak-anak anda. Permainan menyusun gambar boleh membantu melatih anak anda berfikir secara kreatif.
Terdapat pelbagai jenis pilihan gambar jigsaw puzzle di pasaran. Anda boleh membeli sebagai hadiah untuk anak-anak kesayangan anda. Anda juga boleh lakukan sendiri jigsaw puzzle bersama mereka. Pilih gambar yang anak-anak anda suka dan tampal di atas kotak atau kad keras. Gunting kepada beberapa bahagian. Anda boleh suaikan tahap kesukaran mengikut usia anak-anak anda. Kemahiran berfikir untuk menggabungkan kepingan – kepingan gambar tersebut boleh membantu anak-anak menjadi kreatif.
2. Menjahit
Menjahit biasanya merupakan aktiviti orang dewasa. Mesti anda risau dan terbayang jarum tajam yang perlu anak-anak pegang. Sebagai ibu anda tidak perlu risau ya. Terdapat mainan yang direka khas untuk kanak-kanak untuk menjahit dari seawal umur 3 tahun lagi. Dalam permainan ini jarum direka khas (tumpul dan besar) untuk keselamatan mereka. Anak-anak anda akan selamat ketika melakukan aktiviti menjahit. Tetapi sebagai ibu bapa, anda perlu juga mengawasi mereka ya.
Menjahit selalu dikaitan dengan perkembangan motor halus. Hal ini disebabkan anak-anak perlu menggunakan semua anggota badan ketika menjahit.
a) Sebelum menjahit, anak-anak perlu memasukkan benang ke dalam lubang jarum. Anak-anak perlu fokus (menggunakan mata untuk melihat lubang jarum dan dalam masa yang sama melihat benang yang dipegang menggunakan jari).
b) kekuatan jari untuk memegang jarum dan benang ketika memasukkan benang ke dalam lubang jarum
Pergerakan dan fokus yang diberikan anak-anak boleh membantu mereka menjadi aktif dan kreatif. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk memasukkan bedang ke dalam jarum sehingga berjaya.
Selepas itu mereka perlu mengikut arahan yang diberikan supaya hasil yang mereka terima sama seperti yang dirancang.
Selepas melakukan dua aktiviti di atas, anda boleh mempamerkan hasil usaha anak anda. Pasti mereka akan gembira. Jangan lupa untuk memuji hasil tangan mereka. Pujian anda boleh meningkatkan keyakinan dan mereka pasti akan mahu mengulangi kembali aktiviti-aktiviti di atas bersama anda. Anak-anak yang kreatif bermula dari rumah. Ibu bapa yang kreatif boleh membantu dan mencorakkan anak yang kreatif.
1 comment
Menariknya 😍 boleh try nanti masa baby dah besar sikit